Apakah cabaran didalam penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran di Sekolah
PENGENALAN
Globalisasi ialah satu ideologi perubahan budaya, sosial, dan politik yang
dicetuskan oleh kemajuan pesat ICT. Dalam konteks ini, globalisasi menyebabkan
wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep
pembelajaran global, konsep perubahan global dan sebagainya (Abd. Rahim,
2005). Perubahan ini memberikan kesan
sama ada positif dan juga negatif kepada masyarakat di negara
membangun. Lodge (1993) mendefinisikan
globalisasi sebagai:
"... a process forced by global
flows of people, information, trade and capital. It is accelerated by
technology, which is driven by only a few hundred multinational corporations
and may be harmful to the environment. Therein lies the conundrum of whether it
is wise to leave globalization in the hands of these few corporations, or might
it not make more sense to seek greater involvement from the global community..”
Profesion keguruan juga turut serta terlibat dalam pengaruh ini
yang merupakan trend dan ideologi abab ke-21. ICT memberi kesan yang besar
ke atas anjakan perubahan sistem dan pengurusan pendidikan di
negara-negara membangun seperti Malaysia. Kini revolusi maklumat yang
sedang berlaku disebabkan kemajuan ICT lantas memberikan cabaran baharu
kepada profesion keguruan. Kemajuan
yang berlaku ini perlu dimanfaatkan untuk mempertingkatkan martabat
profesion keguruan.
ICT dapat berperanan meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan
pengajaran melalui penggunaan internet, bahan- bahan multimedia disamping bahan
pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif
dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks,
muzik, video serta animasi yang membantu
mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep
Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan ICT memerlukan anjakan
peranan pendidikan dan profesion keguruan. Negara membangun memerlukan lebih
ramai guru yang mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi maklumat
(ICT). Latihan pendidikan guru juga memerlukan perubahan paradigma bagi
melahirkan guru-guru yang berkelayakkan dan berkebolehan mendidik dan
membangunkan masyarakat dan negara. Abdul Rahim (2005) menyatakan bahawa
globalisasi yang meluaskan konsep dunia tanpa sempadan memberikan cabaran
terhadap guru bagaimana perancangan pengajaran dan pembelajaran serta dunia
pendidikan boleh dimajukan dari perspektif global yang melibatkan penyesuaian
kurikulum, penjadualan belajar, penerokaan maklumat melalui ICT pengawalan dan
penyeliaan, dan peranan efektif guru dalam memajukan dunia pendidikan.
Menurut B. G. Yaxley (1991), pengajaran merupakan satu tindakan yang
bertujuan untuk membawa perubahan dari segi kepercayaan, nilai dan makna.
Beliau juga berpendapat bahawa pengajaran merupakan satu aktiviti intelek. Ia
melibatkan pemikiran, perasaan dan penilaian. Misalnya, interaksi antara guru
dengan pelajar dan di antara pelajar dengan pelajar. Pembelajaran pula ialah
proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat
serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Proses pembelajaran berlaku sepanjang
hayat seseorang manusia.
Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa.
Pembelajaran akan membawa kepada perubahan pada seseorang. Kamus Dewan
mentakrifkan pembelajaran sebagai proses belajar untuk memperoleh ilmu
pengetahuan dan menjalani latihan. Hjetland (1995) menyatakan bahawa “Technology can make our lives easier.
Everyday tasks are simplified”. Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi
dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan
teknologi untuk kerja-kerja pengajaran pembelajaran. Winston Churcil menyatakan
empayar di masa depan ialah empayar pemikiran dan minda. Untuk mengembangkan
pemikiran dan minda pelajar khususnya, pendekatan pengajaran dan pembelajaran
di sekolah perlu digubah kepada pemikiran penyelidikan, mengunpul maklumat,
menganalisis data ke arah menggalakkan kreativiti dan motivasi pelajar.
Pendekatan pengajaran secara tradisional secara sogokan nota-nota seharusnya
dikikis dari pemikiran guru tetapi diubah dengan membekalkan pengetahuan dan
kemahiran ke arah mendapatkan maklumat.
Ellington, Percival dan Race (1993) menjelaskan bahawa penggunaan komputer
dalam pendidikan mempunyai beberapa kekuatan dan kelemahan tersendiri yang mana
lebih berasaskan sebagai satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih
menekankan peranan individu. Ramai penulis menyatakan kekuatan penggunaan
komputer dalam pendidikan adalah objektif pembelajarannya yang lebih luas;
pembelajarannya yang juga boleh dilakukan sendiri serta mendapat maklum balas
segera melalui pendekatan interaktif; dan membolehkan simulasi pengalaman
pembelajaran dilakukan secara terus. Manakala kelemahan penggunaan komputer
dalam proses pengajaran dan pembelajaran pula ialah teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) memerlukan guru-guru celik komputer, atau sekurang-kurangnya
berasa senang menggunakan papan kekunci, sukar mendapatkan bahan berasaskan
komputer yang sesuai dan tersedia, dan usaha mereka bentuk bahan pembelajaran
berasaskan komputer memerlukan kemahiran yang tinggi (Ellington et al. 1993).
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM)2013 – 2025
Dua perenggan berikut ini adalah petikan daripada
Laporan Awal Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 yang
telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada September 2012.
Anjakan ke-7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di
Malaysia Sepanjang dekad yang lalu,
Kementerian telah membelanjakan lebih daripada RM6 bilion untuk teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) dalam inisiatif pendidikan, seperti Sekolah
Bestari. Jumlah ini merupakan antara pelaburan modal paling intensif pernah dilakukan
dalam sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, penggunaan ICT di sekolah masih
tidak mencapai tahap yang memuaskan, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti.
Sebagai contoh, kajian Kementerian pada tahun 2010 mendapati bahawa lebih
kurang 80% guru menggunakan ICT kurang daripada satu jam seminggu. Kajian
tersebut turut mendapati bahawa hanya satu per tiga murid menyatakan bahawa
guru mereka menggunakan ICT secara tetap. Kajian UNESCO pada tahun 2012
mendapati bahawa penggunaan ICT tidak beranjak daripada sekadar penggunaan
aplikasi pemprosesan perkataan sebagai alat pengajaran. ICT mempunyai potensi
yang besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu dan kemahiran berfikir yang
luas. Namun demikian, potensi ini belum dizahirkan.
ICT akan memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000
buah sekolah. Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik
dan interaktif. Mereka akan dapat belajar mengikut kadar sendiri dan mempunyai
pilihan yang lebih luas melalui program jarak jauh. Pengetua/guru besar dan
guru juga mempunyai akses kepada sumber dan komuniti pembelajaran nasional dan
antarabangsa yang dapat meningkatkan kualiti amalan mereka. ICT akan sentiasa
menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di sekolah, tanpa jurang pemisah antara
bandar dengan luar bandar. Semua guru dan murid akan dilengkapkan dengan
kemahiran yang diperlukan bagi menggunakan teknologi ini secara berkesan dan
bermakna.
Cabaran Penggunaan Teknologi Maklumat dalam Pengajaran
dan Pembelajaran
Walaupun kajian menunjukkan bahawa wujudnya peningkatan daripada aspek
kognitif pelajar dengan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran masalah seperti kesukaran serta integrasi teknologi maklumat yang
tidak efisien masih lagi berlaku di sekolah. Andaian umum yang menyatakan
bahawa sekiranya perkakasan dan perisian telah tersedia di sekolah,
pengintegrasian teknologi maklumat akan berlaku secara automatik adalah kurang
tepat kerana salah satu penentu utama kejayaan atau kegagalan pengintegrasiannya
adalah guru. Subtajuk seterusnya akan membincangkan cabaran yang dihadapi guru
untuk mengaplikasikan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran.
1 Kemahiran Teknologi Maklumat Guru
Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan yang
berkualiti, guru merupakan agen perubahan yang penting. Oleh itu, penguasaan
teknologi maklumat dalam kalangan guru adalah dituntut. Ia penting bukan sahaja
untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran malah daripada
aspek pentadbiran dan pengurusan sekolah. Oleh itu, langkah-langkah seperti
bengkel dan kursus berkaitan teknologi maklumat giat dijalankan untuk
memantapkan guru-guru khususnya dalam aspek berkaitan teknologi maklumat.
Merujuk kepada beberapa kajian di luar negara, antaranya “School
Investments in Instructional Technology” yang dijalankan oleh Office of
Technology Assessment, pada tahun 1995 (dalam Pricilla & Karin, 2003),
terdapat perkaitan yang relatif di antara perbelanjaan ke atas perisian dengan keperluan
latihan profesional dalam kalangan guru. Dapatan merumuskan, tanpa perhatian
yang mendalam terhadap keperluan mempertingkat kualiti latihan guru dan
peningkatan kemahiran dalam teknologi pengajaran, maka pihak sekolah akan
mengalami kesukaran untuk memperluas potensi penggunaan teknologi terkini dalam
pengajaran dan pembelajaran.
Kajian yang dijalankan oleh Knirk dan Gustafson (1986) mendapati bahawa
kekecewaan dan keresahan merupakan sebahagian daripada kehidupan para pengguna
sistem teknologi maklumat. Mereka sentiasa bertungkus lumus untuk cuba
mempelajari bahasa komputer. Sistem menu yang sepatutnya membantu mereka di
dalam bidang tugasan menyukarkan tugas mereka. Malah, terdapat sebahagian
pengguna komputer yang mengalami perasaan fobia terhadap teknologi komputer.
Lawrence (2002) berpendapat bahawa;
…to embrace technology, teachers must
have positive attitudes toward it. It is imperative that instructional
technology trainers supply a supportive and nurturing environment.
Mengenai jenis kemahiran komputer yang diperlukan, Geisert dan Futrell
(1990) menjelaskan bahawa The Association of Computing Machinery (ACM) telah
menggariskan skop dan keperluan kepada latihan berdasarkan beberapa kajian yang
telah dijalankan. Ini termasuklah keperluan mempertingkatkan kemahiran membaca
dan menulis program komputer yang mudah, menggunakan program komputer dan
dokumentasi, memahami dan mengetahui terminologi perkakasan komputer, mengenali
had keupayaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran, mengetahui lokasi
untuk memperoleh sumber maklumat daripada komputer, kebolehan berbincang
mengenai sejarah penggunaan komputer dalam pengajaran serta memahami impak
penggunaan komputer ke atas nilai moral dan kemanusiaan.
2.
Pengetahuan Teknologi Maklumat Guru
Pengetahuan adalah merujuk kepada peringkat ilmu tertentu yang dipunyai
oleh individu (Anderson, 1983). Oleh itu, ia adalah berkait rapat dengan
pengalaman serta kemahiran yang dimilikinya. Merujuk kepada pengetahuan
teknologi maklumat, terdapat perkaitan yang jelas antara tahap kemahiran dan
tahap pengetahuan (Ghafar, 1997 dalam Johan, 2005). Menurut Levine dan
Donitsa-Schmidit (1998), pengetahuan serta sikap terhadap komputer adalah
dipengaruhi oleh kekerapan penggunaan komputer, semakin kerap seseorang
individu menggunakan komputer, tahap pengetahuannya juga akan semakin
meningkat. Tahap pengetahuan teknologi maklumat guru boleh ditingkatkan melalui
kursus-kursus teknologi maklumat.
Berdasarkan beberapa kajian lepas yang merujuk kepada pengetahuan teknologi
maklumat guru, Jeannette (2001), mendapati 86% guru mempelajari teknologi
berasaskan komputer daripada kawan, 80% belajar sendiri dan 24% belajar
daripada kursus yang dianjurkan oleh agensi tertentu. Kajian beliau juga
mendapati bahawa sebanyak 30% guru menyatakan bahawa mereka berminat untuk
terus belajar sekiranya terdapat kursus yang sesuai ditawarkan. Manakala
dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh Inman-Anderson dan Ditson (1999)
mendapati 87% daripada guru belajar menggunakan teknologi berasaskan komputer
dengan belajar sendiri dan mendapati 40% guru belajar daripada kawan. Kajian
yang dijalankan oleh Liu et al. (2002) juga mendapati bahawa 96% guru
memperoleh pengetahuan dengan belajar sendiri. Daripada kajian McMohan et al.
(1999) mendapati 55% guru-guru belajar daripada kawan. Daripada kajian tersebut
dapat disimpulkan bahawa majoriti guru memperoleh pengetahuan tentang Internet
melalui pembelajaran sendiri.
Kajian yang dijalankan oleh Norizan Abdul Razak (2003) terhadap 60 orang
guru pelatih di Institut perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah
mendapati 60% guru pelatih belajar tentang ICT dalam pengajian di institut.
Sejumlah 27% belajar sendiri dan 18% belajar daripada luar pengajian di
institut perguruan. Untuk pengetahuan membina perisian multimedia, 90%
menyatakan mereka belajar dalam pengajian di institut perguruan. Dapatan kajian
ini menunjukkan majoriti guru pelatih memperoleh pengetahuan menggunakan ICT
daripada pengajian mereka. Dapatan kajian ini menunjukkan kursus teknologi
maklumat yang diikuti semasa di institut perguruan banyak membantu guru
memahirkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat. Secara keseluruhannya,
guru-guru perlu dilengkapkan dengan kemahiran teknologi maklumat yang
seterusnya akan meningkatkan tahap pengetahuan guru-guru.
3. Sikap Guru Terhadap Teknologi
Maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Menurut Aiken (1976) dan Ajzen (1988) sikap adalah sesuatu gambaran dalaman
individu yang merujuk kepada kecenderungan untuk berkelakuan positif atau
negatif terhadap benda, situasi, institusi, konsep atau individu lain. Beberapa tinjauan literatur lepas telah
menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang rapat antara sikap dengan penggunaan
teknologi maklumat dengan pengajaran dalam bilik darjah (Mohamad Nabzrim &
Mohamad Nayan, 1997; Adenan, 1999; Krishnan et al., 2007). Dalam satu kajian
yang melibatkan penggunaan komputer di empat buah sekolah di Amerika Syarikat,
latihan teknologi maklumat yang konsisten terhadap kakitangan telah dikenal pasti
sebagai satu faktor yang penting yang memupuk sikap positif dalam kalangan guru
yang seterusnya membawa kepada perubahan dalam aktiviti profesional guru dalam
teknologi maklumat selepas dua tahun (Rockman, Pershing & Ware, 1992 dalam
Soon Yin & Kooi Guan, 2002).
Jika dianalisis daripada aspek demografi, dapatan oleh Azhar Haji Ahmad
(1998) dalam kajiannya mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang
signifikan di antara kumpulan responden lelaki dengan responden perempuan pada
enam sub skala sikap terhadap komputer iaitu keyakinan, tingkah laku, kesukaan,
penggunaan, kecekapan dan sikap kognitif. Walau bagaimanapun, dapatan oleh Ong
dan Lai (2003, dalam Su Luan et al. ,2005) adalah sebaliknya, ia menunjukkan
terdapat persepsi yang lebih baik khususnya daripada responden lelaki untuk
tahap kemahiran, keupayaan dan pembelajaran secara e-Learning menggunakan
komputer berbanding dengan responden perempuan. Dapatan ini juga disokong oleh
kajian terdahulu oleh Liaw (2002) dan Chen dan Tsai (2005, dalam Su Luan et al.
,2005) yang mendapati bahawa responden lelaki mempunyai persepsi yang lebih
baik terhadap komputer dan teknologi web berbanding responden perempuan. Walau
apa pun dapatan daripada kajian lepas, penyelidik bersetuju dengan Kirkpatrick
dan Cuban (1998) yang menyatakan bahawa jurang tahap kemahiran dan sikap
terhadap jantina akan dapat dikurangkan jika didedahkan kepada pengalaman serta
kemahiran yang sama dalam bidang komputer.
Merujuk kepada perkaitan di antara sikap guru dengan umur, Ting Kai Chu
(1998) mendapati, secara keseluruhannya guru yang muda mempunyai sikap yang
positif terhadap komputer berbanding guru yang lebih berusia. Ini adalah kerana
guru-guru muda ini telah terdedah dengan komputer sama ada di sekolah mahupun
di universiti sedangkan golongan guru yang lebih berusia tidak mengalaminya.
Dapatan yang sama juga diperoleh oleh Mukama dan Andersson (2007), iaitu
guru-guru yang berusia enggan untuk berubah ke arah pengintegrasian komputer di
sekolah berbanding guru-guru baru yang lebih mesra dengan teknologi maklumat.
Ini menunjukkan golongan muda lebih terdedah kepada teknologi baru. Justeru
itu, ia meningkatkan tahap penerimaan dan penggunaannya. Ini disokong oleh
Mortimer dan Scott (2003: 35) menyatakan pengalaman menggunakan komputer
mempengaruhi sikap terhadap komputer. Menurut beliau kebanyakan guru tidak
memahami bagaimana hendak menggabungkan kemahiran komputer dengan pengajaran di
kelas. Bagaimanapun menurut beliau, sebanyak dua per tiga daripada kalangan
guru menyatakan tidak bersedia menggunakan komputer dalam pengajaran, tetapi
bagi kumpulan guru yang lebih muda, yang membesar dan belajar dengan
menggunakan komputer lebih berkeyakinan menggunakan komputer berbanding
guru-guru yang telah lama berkhidmat. Guru yang bersikap positif terhadap
komputer juga adalah lebih bersedia menggunakannya berbanding dengan guru yang
bersikap negatif terhadap komputer.
Merujuk kepada perkaitan di antara sikap guru dengan taraf dan status
jawatan serta bidang pengkhususan (opsyen), kajian oleh Mohamad Nabzrim dan
Mohamad Nayan (1997) menunjukkan data yang diperoleh daripada soal selidik dan
temu bual terhadap penggunaan komputer dalam kalangan guru bahawa tidak
terdapat perbezaan yang signifikan dengan penggunaan komputer. Ini disokong
oleh Mukama dan Andersson (2007) yang menyatakan bahawa faktor taraf jawatan
dan pengkhususan tidak memberi kesan terhadap sikap guru terhadap komputer.
Namun demikian, dapatan kajian oleh Adenan (1999) menyatakan bahawa sikap yakin
dalam kalangan guru terhadap penggunaan komputer mempunyai hubungan yang
signifikan dengan faktor latihan, kemudahan komputer dan galakan pentadbir.
Berdasarkan beberapa kajian lepas juga, keengganan guru untuk berubah juga
faktor signifikan yang mempengaruhi sikap guru. Ini didorong oleh sikap yakin
terhadap teknik pengajaran dan pembelajaran konvensional yang dianggap relevan
dengan sistem peperiksaan. Golongan guru ini berpendapat bahawa jika keputusan
peperiksaan yang diperoleh pada setiap tahun cukup baik dan cemerlang mengapa
harus mengubah apa yang sedia baik untuk pelajar. Ini ditambah lagi dengan
kurangnya kursus khususnya guru-guru yang berkhidmat di pedalaman yang
seterusnya akan menyemai sifat technophobia (Mukama & Andersson, 2007).
Secara keseluruhannya, dalam persekitaran teknologi maklumat yang semakin
berkembang, guru seharusnya memainkan peranan sebagai agen perubahan. Matlamat
ini menuntut sikap positif guru terhadap teknologi maklumat dan inisiatif ini
boleh dimulakan dengan mengintegrasikan aplikasi ini dalam pengajaran dan
pembelajaran yang seterusnya akan memanfaatkan golongan pelajar
4.
Jurang ICT dan Digital
Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat terutama dan segi ekonomi,
pendapatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur. pemodenan dan sebagainya akan
memberi kesan terhadap kemajuan ICT dan digital. Sekolah, pendidikan dan
profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi
menangani jurang ICT dan digital yang berlaku, terutama di luar bandar dan di
kalangan kaum. Sekolah dan profesion keguruan perlu memberikan perhatian serius
bagi merapatkan jurang perbezaan ICT dan digital dengan meningkatkan program
pendidikan ICT dan memperluaskan peluang menguasai pengetahuan dan kemahiran
digital, khususnya di kalangan pelajar miskin dan luar bandar. Lebih banyak
peruntukan dan guru-guru yang terlatih dalam bidang ICT dan digital perlu
disediakan bagi membantu pelajar dan sekolah melaksanakan misi dan visi
membentuk masyarakat IT dan masyarakat digital.
Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan untuk
memastikan lebih ramai pelajar mendapat faedah.
Oleh itu, usaha seharusnya dipergiatkan untuk menyediakan kemudahan
komputer serta kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer, terutama
di sekolah-sekolah di luar bandar. Pembangunan perisian untuk mata pelajaran
Matematik, Sains, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris serta Teknikal dan
Vokasional perlu dipergiatkan. Manakala perisian untuk mata pelajaran lain
perlu dibangunkan.
5.
Kekurangan Prasarana dan Bahan Sokongan
Meluaskan literasi komputer menjadi agenda penting pendidikan selaras
dengan dasar ICT negara pada abad ke-21. Era teknologi maklumat memerlukan
sistem pendidikan dan institusi sekolah menggubal matlamat utama pendidikan
bagi membentuk generasi muda yang celik dan mahir komputer. Satu cabaran
penting pendidikan teknik dan vokasional ialah menyediakan kemudahan komputer
untuk semua pelajar. Ini bermakna kemudahan komputer tidak terhad kepada
golongan tertentu sahaja tetapi melibatkan keseluruhan pelajar tanpa mengira
status ekonomi, sosial, kaum dan sebagainya.
Kecanggihan kemudahan ICT yang terdapat di sekolah-sekolah pada masa ini
adalah tidak seragam. Ada yang meletak komputer di dalam bilik darjah, ada juga
yang meletakkan semua komputer ini di dalam makmal. Ada yang memiliki sambungan
kepada Internet, ada yang tidak. Guru-guru yang menggunakan panduan yang
terkandung dalam dokumen ini haruslah terlebih dahulu mengetahui tahap
keupayaan infrastruktur ICT yang terdapat di sekolah masing-masing sebelum merancang
sebarang aktiviti pembelajaran yang menggunakan ICT. Ini bagi memastikan
aktiviti yang dilaksanakan membuahkan hasil yang optimum sesuai dengan objektif
pembelajaran. Sebagai panduan, disertakan di bawah ini matriks yang menunjukkan
perkaitan antara tahap teknologi dan pembelajaran.
Cabaran masa kini dan akan datang dalam sektor pendidikan ialah penyediaan
prasarana komputer yang lengkap untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran
tersebut. Walau bagaimanapun, penyediaan kemudahan mengakses Internet sahaja
tidak menjamin keberkesanan pembelajaran pengajaran secara on-line. Sikap guru
dan pelajar terhadap penggunaan teknologi tersebut perlu dipertimbangkan untuk
memastikan keberkesanannya sebagai kaedah pengajaran pembelajaran.
Pihak sekolah perlu memperbaiki infrastruktur komunikasi dan multimedia
seperti kemudahan komputer, lebar jalur tinggi yang bersepadu dan sambungan
Internet serta makmal komputer. Selain itu, pihak sekolah juga perlu
meningkatkan infostruktur seperti rangkaian, kandungan tempatan, insentif dan
perundangan untuk membentuk persekitaran yang membolehkan penyediaan
infostruktur.
6.
Sumber Kewangan Yang Tidak Mencukupi
Pihak sekolah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi
membiayai berbagai-bagai kos penggunaan teknologi maklumat akan kembali kepada
pembelajaran konvensional. Kelemahan kepimpinan sekolah yang kurang komited
terhadap penggunaan ICT juga boleh menyebabkan sekolah tertinggal dari arus
perubahan perdana yang berlaku. Sekolah juga gagal memainkan peranan positif
bagi membangunkan pelajar supaya celik komputer, terutama di kawasan luar
bandar. Perubahan ini akan memberikan cabaran besar terhadap tenaga pengajar.
Mereka perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menjadikan
komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan
konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi.
Pihak sekolah juga perlu menangani masalah kewangan yang mungkin dihadapi
dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, soal implikasi kos sering kali menjadi
kriteria bagi melaksanakan pembelajaran berasaskan komputer di sekolah-sekolah.
Perancangan sekolah juga perlu mengambil kira perubahan yang berlaku terutama
penggunaan ICT. Selain menyediakan kemudahan belajar berasaskan ICT, sekolah
perlu merangka belanjawan pendidikan yang semakin meningkat, khususnya
perbelanjaan yang melibatkan penggunaan kemudahan, peralatan dan perkakasan
teknologi maklumat. Pihak sekolah juga perlu menangani masalah kewangan yang
mungkin dihadapi dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, soal implikasi kos
sering kali menjadi kriteria bagi melaksanakan pembelajaran berasaskan komputer
di sekolah-sekolah.
Kesimpulan
Penggunaan ICT dalam bidang pendidikan adalah selaras dengan hasrat
Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. ICT membolehkan
pembangunan pendidikan pada abad ke-21 di negara ini menjadi lebih kompetitif
dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Malaysia perlu melangkah ke
hadapan bagi mengantarabangsakan status pendidikannya di peringkat global.
Peranan istitusi pendidikan bagi meningkatkan kadar celik komputer yang
melibatkan pengetahuan dan kemahiran komputer ke arah melahirkan masyarakat
siber bergantung pada profesion keguruan. Kaedah pengajaran tradisional chalk and talk perlu diubah untuk
disesuaikan dengan kaedah mengajar menggunakan peralatan ICT seperti
menggunakan projektor LCD, komputer dan persembahan PowerPoint. ICT menyediakan
peluang kepada golongan guru sekolah dan untuk mempelajari sesuatu perkara dan
kaedah baru dalam proses pembelajaran serta pengajaran. Tambahan pula, ICT
dapat mendedahkan mereka ini dengan cabaran-cabaran baru dalam dunia pendidikan
mereka hasil daripada penggunaan ICT. Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh
pihak guru termasuklah sikap negatif guru, kekurangan kemahiran, kekurangan
prasarana dan bahan sokongan, jurang ICT dan digital, sumber kewangan yang
tidak mencukupi. Bagi mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru,
pelbagai usaha akan dilaksanakan supaya ICT dapat digunakan dengan sepenuhya di
sekolah. Bagi melaksanakan pembaharuan ini, guru perlu bersedia mengambil
cabaran baharu dan melaksanakannya di sekolah.
Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) merujuk kepada kebolehan guru mengintegrasikan aspek pedagogi,
psikologi dan teknologi dalam pengajarannya serta kemampuan pelajar mengakses
dan belajar dari bahan yang disediakan. Walau bagaimanapun, jika infrastruktur
ICT tidak lengkap dan tidak efisyen, guru dan pelajar tidak dapat menjalani
pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan pelaksanaan ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran akan gagal. Jadi, prasarana dan kemudahan di sekolah hendaklah
dipantau bagi membolehkan penggunaan komputer secara meluas di kalangan
guru-guru. Masih banyak ruang kosong yang mampu diisi dan digunakan untuk
mempertingkatkan lagi pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan komputer
terutama dalam era globalisasi di mana ilmu boleh didapati hanya di hujung jari
sahaja. Pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer merupakan faktor penting
ke arah pembentukan sikap positif terhadap komputer yang masih kurang dalam
kalangan guru. Usaha untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam kalangan pendidik
diperluaskan melalui kursus dan latihan yang berkesan perlu disarankan.
Akhir sekali, yang lebih penting adalah kebolehan untuk menyebatikan
kemahiran-kemahiran ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana matlamat
kita adalah untuk menggunakan teknologi komputer dalam pendidikan secara am dan
dalam pengajaran dan pembelajaran secara khusus. Namun begitu, harus diingat
bahawa teknologi hanya merupakan alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
ia tidak akan dapat menggantikan kedudukan guru dalam erti kata yang luas.
Pendidikan hari ini adalah untuk kecemerlangan masa hadapan.
RUJUKAN
Aiken, L. R. (1976). Update and other Affective Variables in Learning
Mathematics. Review Of The Educational
Research.
Ajzen, I. (1988). Attitudes,
Personality and Behaviour. Illinois: Dorsey Press.
Azhar , H. A. (1998). Penggunaan
komputer dalam kalangan Guru-guru Sekolah Menengah di Bandaraya Kuching Utara.
Tesis Sarjana. Universiti Malaysia Sarawak.
Chao, T., Butler, T. and Ryan, P. (2003). Providing a Technology Edge for Liberal Arts Students. Journal of
Information Technology Education
Furst-Bowe, J., Boger, C., Franklin, T., Mclntyre, B., Polansky, J. and
Schlough, S. (1996). An Analysis of
Required Computer Competencies for University Students. Journal of Research
and Computing Education
Inman-Anderson, L. and Ditson, L. (1999). Computer-Based Concept Mapping: A
Tool for Negotiating Meaning. Learning and
Leading With Technology.
Jeannette, S. (2001). Integrating Information and Communication Technology
in Professional Practice: Based on Survey of Primary and Secondary School in
Scottish School. Journal for Information
Technology for Teacher Education.
Kirkpatrick, H. and Cuban, L. (1998). What
the Research Says about Gender Differences in Access, Use, Attitudes and
Achievement with Computers. Educational Technology
Knirk, F. C. and Gustafson, K. L. (1986). Instructional Technology: A Systematic Approach to Education.
London: Holt, Rinehart and Winston.
Kementerian Pelajaran
Malaysia. (2012). Laporan Awal-Ringkasan
Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2103-2105. http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-ExecSummary-BM.pdf,
dipetik pada 28
Oktober 2013
McMohan, J., Gardner, J., Gray, C. and Mulhern, G. (1999). Barrier to
Computer Usage: Staff and Student Perceptions. Journal of Computer Assisted Learning
Mohamad Nabzrim dan Mohamad Nayan. (1997). Penggunaan komputer di kalangan guru-guru dalam pengurusan kurikulum di
sekolah menengah daerah Sik, Kedah. Kertas Projek Fakulti Sains Kognitif
dan Pendidikan, Universiti Utara Malaysia. (Tidak diterbitkan)
Mukama, E. and Andersson, S. B. (2007). Coping with change in ICT-Based
Learning Environments: Newly qualified Rwandan Teachers' Reflection. Journal of Computer Assisted Learning
Norizan Abdul Razak. (2003). Computer
Competency of In-Service ESL Teachers in Malaysian Secondary Schools.
Doctor of Philosophy Thesis. Universiti Kebangsaan Malaysia
Pricilla, N. and Karin, M. W. (2003). Teaching
with Technology. Vancouver: Thomposon Wardsworth.
Soon Yin, T. dan Kooi Guan, C. (2002). Latihan dan Penggunaan Teknologi
Dalam Pengajaran-Pembelajaran Guru-Guru. Jurnal
2002 Pendidikan guru.
Su Luan, Wong. (2002). Development
and Validation of an Information Technology (IT) Based Instrument to Measure
Teacher's IT Preparedness. Doctor of Philosophy Thesis. Universiti Putra
Malaysia.
Su Luan, Wong, Sidek Abdul Aziz, Aida Suraya Mohd Yunus, Zakaria Sidek,
Kamariah Abu Bakar dan Hamidah Maseran. (2005). Gender Differences in ICT
Competencies among Academicians at Universiti Putra Malaysia. Malaysian Online Journal of Instructional
Technology
Sunal, D. W. (1996). The Impact of Network Communication Technology on
Science Teacher Education. Journal of
Computers in Mathematics and Science Teaching.
cabaran guru yang disenaraikan memang benar-benar dihadapi oleh guru masa sekarang, terutamanya guru generasi 60an
BalasPadam